top of page

Banyaknya Format-Format Fail. Tapi Nak Guna Yang Mana?




Bila nak menyimpan hasil kerja kita secara digital, banyak ya amat format failnya. Ada .jpg, .jpeg, .png, .psd, .eps, .pdf dan banyak lagi lah. Tapi yang mana satu nak guna?


Kalau korang uruskan pemasaran untuk bisnes, penting tau untuk tahu semuanya. Tak kiralah nak update visual untuk laman sesawang atau nak reka kad perniagaan atau cetakan gambar berkualiti tinggi, amatlah penting untuk kenali dan ketahui segala sambungan fail.


Tapi sebelum tu, untuk mengenali format fail dengan lebih baik, kenalah tau apa beza dua jenis fail imej utama: raster dan vektor.


Imej Raster

Terdiri daripada piksel, komponen terkecil sesuatu gambar seperti di skrin. Bila diletakkan pada grid, setiap piksel individual menghasilkan imej lebih besar. Maknanya, bila imej di-zum masuk, akan jelas kelihatan setiap piksel. Piksel individual ini lah yang membentuk imej keseluruhan.


Imej raster adalah berasaskan piksel yang menyebabkan nilai resolusi terhad. Ini bermaksud, korang tak boleh nak besarkan imej sesuka hati sebab ia pasti menjejaskan kualiti gambar. Jadi bila imej dibesarkan dan gambar dipikselkan, menjadi kabur atau kurang jelas, ada kemungkinan itu adalah imej raster.


Apa je format fail imej raster? Ha, ada beberapa termasuklah:


JPEG - Juga dikenali sebagai JPG, merupakan imej yang mengurangkan piksel bagi menghasilkan padanan terdekat bagi imej asal. Fail JPG boleh dikompres mengikut amaun tertentu dan seterusnya membolehkan korang mengawal saiz fail. Fail JPG versatil dan boleh digunakan untuk percetakan dan laman sesawang, bergantung kepada nilai dpi atau ppi fail tersebut.


GIF - Digunakan untuk laman sesawang terutamanya untuk animasi banner dan meme kerana merupakan bentuk fail grafik beranimasi. Kalau nak tahu, cara sebutan nama GIF ni banyak menimbulkan debat ilmiah di ruangan sosial media sebab ada yang sebut jif dan ada yang sebut gif (macam hadiah).


PNG - Melalui pemampatan imej yang tidak sama sekali menjejaskan kualiti grafik, PNG sesuai bagi imej penuh perincian dan berkontras tinggi tidak kira berapa kerap ia dibuka dan disimpan. Bagi imej dengan latar belakang telus contohnya bila nak reka logo syarikat atau ikon yang kosong di latar belakangnya, korang patut simpan fail sebagai format PNG.


TIFF - Format fail TIFF mengekalkan kualiti imej dan boleh disunting dengan platform manipulasi gambar seperti Photoshop sebab dia menyokong tags, lapisan dan ketelusan grafik. Fail format ini sangat sesuai untuk gambar profesional. Tapi kalau boleh, jangan guna untuk laman sesawang sebab fail ini besar dan boleh mengganggu kepantasan laman.


PSD - Fail yang direka, disunting dan disimpan dengan perisian Adobe Photoshop dikenali sebagai PSD dan kerapkalinya digunakan untuk platform manipulasi gambar. Setelah disunting, fail PSD boleh disimpan dalam pelbagai format lain seperti JPG, PNG dan TIFF.


Tadi kita dah kenal semua imej raster, sekarang jom kita kenali pula imej vektor.


Imej Vektor

Terhasil dari jalur geometri, imej vektor adalah berdasarkan penaakulan matematik. Saiz grafik vektor boleh dibesarkan dan dikecilkan mengikut dimensi kerana ia digariskan parameter matematik. Sebab tu lah logo, ikon dan fon selalunya terdiri dari grafik vektor sebab ia berfungsi dan fleksibel untuk apa-apa situasi.


Antara format-format fail vektor adalah:


AI - Adobe Illustrator adalah platform pilihan industri bagi menghasilkan karya vektor. Sambungan fail AI menjadi pilihan pereka grafik kerana ia boleh dieksport dalam pelbagai format fail lain seperti JPG, PNG, SVG, TIFF dan PDF, menjadikannya format fail paling sesuai untuk penghasilan logo, tipografi, infografik, kertas iklan dan lain-lain.


INDD - Bermaksud dokumen InDesign, format fail ini terhasil dengan menggunakan Adobe InDesign, sebuah platform susun letak yang acapkali digunakan untuk percetakan seperti majalah atau buku, brosur, kertas iklan dan juga e-buku.


EPS - Skrip pos yang dilampirkan atau EPS adalah fail grafik vektor yang direka dan disunting dengan program rekaan seperti Adobe Illustrator. Lebih kerap digunakan untuk percetakan menggunakan mesin cetak skrip pos dan tukang gambar. Tukang cetak profesional kadangkala akan meminta agar fail rekaan dihantar dalam format EPS supaya ia serasi dengan perisian dan mesin cetak mereka. Tapi jangan risau, fail EPS juga boleh ditukarkan ke format JPG, PNG, TIFF dan PDF dan sesuai untuk pencetakan ilustrasi beresolusi tinggi.


SVG - Grafik Vektor Berskala atau SVG adalah imej vektor berkod yang disokong pelbagai pelayar. Fail SVG selalunya mengandungi elemen interaktif dan juga animasi, yang boleh dicari, diindekskan, diskripkan dan dimampatkan. Seperti juga PNG, fail SVG menyokong latar belakang telus menjadikannya alternatif terbaik untuk logo, ikon dan grafik mudah.


bottom of page